Makanan

Minum Petang - Kuih Muih : Gerai Kuih Merlimau

Gerai kuih yang terletak di tengah-tengah Bandar Merlimau ini bukan sahaja popular dan terkenal dikalangan penduduk setempat, malah turut dikenali oleh pengunjung yang datang dari luar Melaka seperti Muar, Pahang dan Negeri Sembilan yang melalui Jalan Merlimau-Jasin. 

Gerai kuih tersebut dibuka setiap hari dan amat popular dengan ubi getok, pisang goreng, keledek goreng dan kuih lopes. Dibuka seawal jam 12 tengahari, gerai kuih ini bukan sahaja bersih malah menawarkan kuih-muih tradisional Melayu dan lain-lain dengan harga yang sangat berpatutan.

Pisang goreng

Keledek goreng
Bagi anda yang merancang untuk ke Merlimau atau ingin membeli kuih-muih untuk minum petang, jangan lupa untuk singgah dan mencuba sendiri kelazatan ubi getok, kuih lopes dan lain-lain. Anda pasti berpuas hati!

Pelbagai jenis kuih-muih dijual


Kuih lopes gerai kuih ini sangat lazat dan terkenal

Gambar di atas Riqq ambil semasa menunggu gambar passport siap. Tiba-tiba teringat zaman persekolahan dahulu, ketika Riqq dan rakan-rakan menunggu bas, kami pasti akan membeli ubi getok, pisang goreng dan kuih lopes lalu makan beramai-ramai di stesen bas Merlimau. Ramai pelajar sekolah rendah dan menengah seperti SK Merlimau 1 dan 2, SMK Dato' Abdul Rahman Ya'kub, SMK Dang Anum serta Politeknik dan Kolej Komuniti gemar membeli dan menikmati kuih-muih yang dijual di gerai ini. Cubalah!

Jom minum petang dengan pisang dan keledek goreng yang dibeli dari gerai kuih Merlimau!

Hurm, sedap ni!

 

Kuih Muih: Kuih Koci Pulut Hitam


Kuih koci adalah sejenis kuih tradisional masyarakat Melayu. Terdapat pelabagai jenis kuih koci yang menjadi identiti masyarakat Melayu termuklah kuih koci pulut hitam, kuih koci pulut putih, kuih koci labu dan kuih koci koleh santan. Kuih koci juga turut menjadi kegemaran masyarakat berbilang bangsa di Malaysia seperti masyarakat Cina, India, Chitty, Portugis dan sebagainya.

Kuih Muih: Kuih Bakar Basah


Kuih bakar basah ataupun dikenali sebagai kuih bakar merupakan sejenis kuih tradisional turun temurun masyarakat Melayu Melaka. Terdapat dua jenis lagi kuih bakar iaitu kuih bakar berlauk dan kuih bakar kering. Kuih bakar basah sangat popular dan menjadi kuih kegemaran untuk dihidangkan pada upacara-upacara seperti kenduri, jamuan makan, Hari Raya Korban dan sebagainya.



Kelazatan kuih bakar basah terletak pada adunan dan cara memasaknya. Kuih bakar basah yang dibuat secara tradisional sangat enak dan lebih tahan lama untuk disimpan berbanding yang dimasak menggunakan oven dan ketuhar moden. Terdapat pelbagai resipi dan penggayaan cara kuih bakar dibuat namun kuih bakar basah yang menggunakan resepi turun temurun adalah yang paling enak.

Kuih bakar basah juga enak dijadikan hidangan minum petang dan sarapan pagi. Rasanya yang manis dan lemak menjadikan kuih ini begitu sinonim dengan masyarakat Melaka. Di Melaka, kuih bakar basah banyak dijual di restoran-restoran dan gerai kuih. Antara gerai kuih yang biasa menjaul kuih bakar basah adalah Perhentian Kuih Kampung dan Gerai Kuih Merlimau.

Bagi anda yang menggemari kuih bakar basah, bolehlah mencuba keenakan resepi turun temurun kuih bakar Melaka hari ini juga.

Kuih koci bukan sahaja dimasak oleh masyarakat Melayu namun bagi masyarakat Baba Nyonya Melaka, mereka mempunyai resipi kuih koci tersendiri yang unik dan berbeza berbanding kuih koci biasa. Dalam masyarakat Melayu, kuih koci sering kali menjadi hidangan pada Hari Raya Korban dan majlis-majlis kenduri.

Sewaktu Hari Raya Korban, pelbagai jenis kuih-muih tradisional (kuih basah) seperti kuih bakar basah, kuih koci, kuih talam, seri kaya, pulut inti, kuih genggang, kuih bingka dan sebagainya akan menjadi hidangan istimewa bagi masyarakat Melaka. Kuih koci antara yang paling digemari dan hidangan yang wajib ada pada ketika itu.

Kelazatan dan keistimewaan kuih koci terletak pada intinya. Inti kuih koci diperbuat daripada kelapa muda, gula melaka dan beberapa bahan lain perlu dimasak dengan sempurna supaya tidak menjejaskan kualiti rasanya. Kuih koci pulut hitam adalah yang paling popular dalam masyarakat Melayu malah hanya sesetengah orang sahaja yang mampu memasaknya dengan sempurna.

Kuih koci koleh santan pula sangat mudah dihasilkan. Masyarakat Melayu akan meletak sedikit santan koleh pekat di atas kuih koci sebelum membungkusnya kemudian dikukus seperti biasa.

Kuih Muih: Kuih Kaswi

Kuih Bujang Lapok atau juga dikenali dengan nama klasiknya, kuih Kaswi amat terkenal dan popular dikalangan penduduk Melaka. Kuih Kaswi sememangnya sangat digemari oleh segenap lapisan masyarakat dari kanak-kanak hinggalah orang dewasa dan warga emas. Rasanya yang lazat, lembut serta mudah dibuat menjadikan kuih ini sebagai kuih pilihan untuk majlis-majlis kenduri dan santapan untuk minum petang.

Kuih Bujang Lapok atau Kaswi ini berasal dari Semenanjung Malaysia dan mula dicipta oleh penduduk Selatan seperti di Melaka dan Johor. Dipercayai bahawa kuih ini merupakan kuih tradisional yang menjadi santapan golongan biasa sewaktu era kegemilangan Kesultanan Melaka. Kuih ini dihidangkan pada majlis keraian rakyat bawahan ketika itu. Namun, mengikut penceritaan orang-orang lama di Melaka, kuih Kaswi menjadi kuih kegemaran isteri Sultan Sultan Mahmud Syah, Permaisuri Tun Fatimah yang berasal dari golongan biasa.

Setelah beliau dibawa masuk ke istana, banyak makanan golongan rakyat biasa telah diperkenalkan kepada Sultan Mahmud termasuklah kuih Kaswi. Kuih ini menjadi hidangan masyarakat di Melaka sejak turun temurun sehinggalah menjadi sangat popular setelah digelar kuih Bujang Lapok pada sekitar tahun 60-an sempena filem Bujang Lapok lakonan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. 

Beginilah bentuk dan rupa kuih Kaswi atau Bujang Lapok

Oleh kerana kuih ini bewarna gelap (coklat kehitaman) dan diselaputi kelapa parut yang nampak seperti berbulu-bulu dan berlapuk, kuih ini telah digelar sebagai kuih Bujang Lapok. Mari kita lihat bahan-bahan yang diperlukan dan cara-cara untuk membuat seloyang besar kuih Kaswi.

Bahan-bahan yang diperlukan:
5 cawan tepung gandum
1 cawan tepung ubi
Sedikit kapur
2 setengah cawan gula pasir
2 cawan gula tebu
3 helai daun pandan wangi
Kelapa parut (kelapa muda)
Garam
Air

Cara-cara:
1. Masak 2 mangkuk air dan masukkan daun pandan.
2. Setelah air mendidih, masukkan gula tebu. Masak sehingga gula larut dan sebati
3. Setelah gula larut dan mendidih, padamkan api dan biarkan sehingga suam / pesam.
4. Sediakan mangkuk besar, masukkan tepung gandum dan tepung ubi, gaul sebati.
5. Masukkan kapur, gula pasir, sedikit garam (hujung sudu kecil) dan air gula tebu kedalam mangkuk tepung, kacau sehingga sebati.
6. Kacau dan masukkan air mengikut kepekatan yang dikehendaki, tambah air jika terlalu pekat. Jangan terlalu cair.
7. Tuangkan adunan kedalam loyang dan kukus sehingga masak.
8. Setelah masak, kuih akan mengental dan membeku, biarkan sejuk terlebih dahulu.
9. Gaulkan kelapa parut dengan sedikit garam, Potong kuih dan golekkan dengan kelapa parut dan boleh dihidangkan.

Kuih Muih: Genggang Gula Melaka


Kuih Genggang atau lebih dikenali sebagai kuih lapis di tempat lain adalah merupakan sejenis kuih tradisional masyarakat Melayu. Di Melaka, kiuh genggang boleh didapati dimana-mana sahaja gerai kuih, restoran mahupun di hotel-hotel. Terdapat beberapa jenis kuih Genggang di Melaka antaranya adalaha kuih Genggang Gula Melaka, kuih Genggang Nyonya dan Kuih Genggang biasa.

Kuih Genggang Gula Melaka tidak jauh bezanya dengan kuih Genggang biasa Cuma pewarna atau inci digantikan dengan air gula Melaka. Jadi, kuih yang terhasil adalah bewarna coklat perang dan berbelang-belang putih. Belang-belang yang terdapat pada kuih inilah yang telah membuatkan masyarakat di Melaka memanggilnya sebagai kuih Genggang.

Kuih Genggang sering menjadi pencuci mulut untuk majlis-majlis kenduri kahwin, tahlil dan lain-lain. Kini, penggunaan pewarna ataupun inci lebih meluas berbanding gula Melaka menjadikan kuih Genggang Gula Melaka ini kian dilupakan.

Rasa kuih Genggang yang lembut dan lazat menjadikan kuih ini antara kuih kegemaran segenap lapisan masyarakat di Melaka dari sekecil-kecil kanak-kanak hinggalah sebesar-besar datuk dan nenek (termasuk yang tidak bergigi penuh :P).

Adunan tepung akan dibahagikan kepada dua warna iatu warna putih dan warna coklat perang dan akan berselang seli. Setiap lapisan perlu dibiarkan masak dan kenyal barulah boleh dilapiskan lapisan seterusnya. Jika pandai dan cermat buatannya, anda akan mendapati setiap lapisan boleh dicabut sekeping demi sekeping dan kanak-kanak gemar berbuat demikian.

Jadi, mari cuba resepi kuih Genggang Gula Melaka yang istimewa ini:

Bahan-bahan:
1 1/2 cwn tepung gandum
1/4 cwn tepung beras
1/4 cwn tepung jagung
1/2 cwn gula pasir (mengikut kadar kemanisan yang dikehendaki)
3 cawan santan (ikut keperluan)
1 sudu teh garam
Air gula Melaka (gula Melaka dicairkan dengan sedikit air)
1/2 camca teh esen vanila (sekiranya perlu)

Cara-cara:
1. Panaskan pengukus. Sapukan loyang dengan sedikit minyak dan masukkan loyang ke dalam pengukus.
2. Campurkan kesemua bahan kecuali air gula Melaka dan esen vanila.
3. Kemudian tapis adunan dan dibahagikan kepada dua bahagian.
4. Satu bahagian dicampurkan dengan air gula Melaka dan campurkan sedikit esen vanila. Satu bahagian lagi dibiarkan putih (tanpa campuran gula Melaka dan esen vanila)
5. Mulakan lapisan bawah dengan adunan berwarna putih. Biarkan selama 6min-8min atau sehingga masak barulah dimasukkan dengan lapisan adunan bercampur gula Melaka. Ulangi sehingga adunan habis.


LAUK PAUK : Masak Lemak Siput Sedut dengan Batang dan Isi Keladi


Masak lemak siput sedut dengan batang dan isi keladi merupakan masakan popular masyarakat Melayu di Melaka. Selain boleh dimasak asam, siput sedut boleh juga dimasak lemak dan dicampur dengan batang dan isi keladi. Masih ramai warga Malaysia yang belum mengetahui ataupun pernah mencuba siput sedut.


Ada yang meniup, ada yang menyedut tetapi terbalik dan ada juga yang memecahkan cengkerangnya! Untuk pengetahuan anda, cara yang betul untuk mengeluarkan isi siput sedut adalah dengan menyedut siput ini pada lubang yang paling besar dan apabila isinya telah keluar, tarik penutup pintu rumah siput ini yang berbentuk bulat dan buangkannya. Penutup ini tidak boleh dimakan kerana merupakan lapisan kitin yang sangat keras dan tidak boleh dihadam.


Siput sedut banyak didapati di pantai-pantai berselut di seluruh Melaka seperti di Pantai Sebatu di Sebatu, Sungai Rambai dan Pantai Siring di Pulai. 

Apabila air pasang, siput sedut akan naik beramai-ramai ke pokok kayu bakau untuk mengelakkan diri daripada lemas dan tenggelam dalam air laut. Jadi, para pencari siput sedut di sekitar Melaka akan memulakan misi menculik sput-siput yang melekat pada batang kayu bakau. 

Menurut pantang larang, pencari siput tidak dibenarkan berbuat bising atau memanggil nama rakan-rakan sepencarian kerana orang yang memanggil akan mendengar namanya pula yang dipanggil. Ada juga yang mengatakan siput sedut hanya boleh dikutip pada waktu bulan telah mengambang penuh. Sekiranya dikutip bukan pada waktu yang sesuai, siput sedut tidak dapat disedut walau sekuat manapun anda mencuba. Pernah terjadi bukan? Siput yang disedut tidak mahu keluar. 

Satu lagi petua orang Melaka, sekiranya anda ingin memasak siput, berilah siput-siput sedut anda makan hampas kelapa atau kelapa parut sehari sebelum dimasak. Ini bertujuan untuk menjadikan isi siput yang akan dimasak lebih lemak dan manis serta siput-siput tadi dapat membuang sisa lumpur dari perut mereka, maka kuah lemak akan menjadi sangat lazat dan tidak berbau hanyir.

Siput sedut yang dibeli dari pasar atau dibeli terus daripada pencari siput tidak boleh dibersihkan terus lumpurnya. Biarkan sahaja sehingga hari untuk dimasak untuk mengelakkan siput-siput tersebut kekeringan. Pastikan anda membeli siput segar dan masih belum mati dengan cara memeriksa samada siput-siput tadi melekap pada beg plastik.

Semasa membersihkan lumpur dari siput, gunakan batang anak pisang. Tenyeh-tenyehkanlah batang anak pisang dengan sekuat hati anda untuk menanggalkan kesan-kesan lumpur yang degil. Bilas beberapa kali dan setelah bersih, hujung siput yang tajam perlu dipotong sedikit supaya boleh disedut dan untuk membuang bahagian yang tidak digemari. 

Setelah dipotong, bilas semula dan siaplah untuk dimasak. Masak lemak dengan batang keladi dan isi keladi memang sangat lazat, sekiranya anda ke Melaka, jangan lupa untuk mencuba lauk ini di restoran-restoran mahupun gerai-gerai. 



Lauk masak lemak siput sedut ini sangat enak dimakan bersama sambal belacan dan ikan kering atau ikan goreng. Kalau makan beramai-ramai bersama keluarga memang meriah. Satu rumah bunyi cencorot! Cruuut...Cruuuuuuut...



Nak tahu resepinya?
Bahan-bahan:
1 kg siput sedut (dipotong sedikit pada bahagian yang tajam, bersihkan dengan menggunakan batang anak pisang dan dicuci sehingga lumpur hilang)
6 ulas bawang merah (dimesin)
6 ulas bawang putih (dimesin)
Halia setengah inci (dimesin)
2 sudu kunyit hidup dimesin
4 sudu lada mesin (cili kering)
Sedikit garam
Sedikit serbuk perasa
Sebelah asam keping / asam gelugor
Santan kelapa (1 biji kelapa untuk 1 kilo)
2 rumpun batang keladi (dicelur terlebih sehingga empuk dahulu)
Isi keladi dibelah kepada 4 bahagian (dicelur sekali dengan batang keladi sehingga empuk)


Cara-cara:
1. Didihkan 2 cawan air yang dimasukkan bawang merah, bawang putih, halia, lada mesin, asam keping, kunyi dan siput. Tunggu sehingga mendidih
2. Setelah emndidih, masukkan santan dan batang serta isi keladi. Tunggu sehingga mendidih.
3. Masukkan sedikit garam dan serbuk perasa. 
4. Siap untuk dihidangkan.


LAUK PAUK : Sayur Pisang Masak Lemak

Sayur pisang masak lemak sangat terkenal dan lazat untuk dijadikan hidangan makan tengahari mahupun malam. Selain pisang, terdapat pelbagai jenis sayur-sayuran kampung seperti rebung, pucuk ubi, labu, pucuk manis cendawan dan lain-lain.


Antara pisang yang sesuai untuk dimasak lemak adalah pisang kapas dan pisang lemak manis. Pisang-pisang lain boleh juga dimasak lemak namun rasanya mungkin tidak selazat pisang kapas dan pisang lemak manis. Bagi warga Melaka, lauk ini sangat enak jika dimakan bersama nasi putih, sambal belacan dan ikan kering atau ikan masin. Kulit pisang tidak dibuang dan dicelur bersama-sama isi pisang sehingga empuk. Teknik memasak juga diperlukan. Anda perlu sentiasa menembok atau mengacau kuah santan setelah mendidih bagi mengelakkan timbul minyak pada kuah.


Mari kita lihat bahan-bahan dan cara penyediaannya:

Bahan-bahan:
Masakan ini juga sangat berkhasiat kerana tidak mengandungi minyak (tidak perlu ditumis).
1. Didihkan air, masukkan santan bersama bahan kisar dan biarkan masak seketika.
2. Kemudian masukkan ikan bilis bersama daun kunyit. Kacau rata.
3. Setelah itu masukkan pisang dan biarkan masak dengan api sederhana. Kacau sentiasa.
4. Setelah pisang empuk, bubuh garam secukupnya dan padamkan api.
5. Sedia untuk dihidangkan.
8-10 biji pisang muda (dibelah dua dan direbus sehingga empuk)
6 ulas bawang kecil
10 biji cili padi
2 onci kunyit hidup
50 gm ikan bilis (ditumbuk)
½ sudu teh serbuk kunyit
Semangkuk santan pekat
½ helai daun kunyit (dicarik)
Garam secukup rasa


Cara memasak:





LAUK PAUK : Masak Lemak Ikan Sardin

Satu lagi lauk atau masakan tradisi masyarakat Melaka ialah masak lemak. Masak lemak di Melaka tidak terlalu pekat dan sedikit cair tetapi cukup enak. Salah satu masak lemak yang terkenal di Melaka terutamanya di bahagian Jasin Pantai seperti Sungai Rambai, Merlimau, Sebatu dan Serkam adalah masak lemak ikan sardin. 

Nampak menyelerakan!Masak lemak ikan sardin sangat lazat dan digemari sesiapa sahaja
Namun kini, generasi muda di Melaka ada yang berasa pelik dan tidak langsung mengetahui masakan ini. Masakan ini sesuai untuk dihidangkan untuk makan tengahari dan boleh ditambah dengan belimbing buluh ataupun tomato.

Jadi bagi yang berminat silalah mencuba dan rasai sendiri kelazatannya. Selain dapat mempelbagaikan cara masakan, resipi ini juga boleh membuatkan kanak-kanak lebih berselera berbanding masakan ikan sardin .


m gelugor



Bahan-bahan:
Bawang besar dan belahan lada



2 tin besar ikan sardin
4 ulas bawang merah (ditumbuk)
4 ulas bawang putih (ditumbuk)
1/2 inci halia
3 biji lada hijau atau merah dibelah dua
3 biji bawang besar dibelah empat
1 sudu setengah kunyit dimesin
3 sudu lada mesin (cili kering)
Garam secukup rasa
Sedikit perisa
Santan (sebelah kelapa)
Asam keping /
Cara-cara:
1. Buka tin ikan sardin, keluarkan kedalam mangkuk. Asingkan ikan.
2. Didihkan 2 cawan air, masukkan sos ikan sardin, bawang, halia, kunyit, lada mesin, bawang besar, santan kelapa, lada dan asam keping.
3. Setelah mendidih masukkan ikan sardin kedalam kuah, bubuh sedikit garam dan perisa.
4. Tunggu 5 minit dan padamkan api. Bolehlah dihidangkan.


Lauk Pauk : Asam pedas



Asam pedas Ikan Pari

Asam pedas Ikan Tengiri







Asam Pedas memang terkenal di Melaka dan Johor. Sebut sahaja asam pedas semua orang tahu bahawa masakan itu sangat sedap dan popular di Negeri Melaka dan Johor. Resepi untuk membuatnya tidaklah terlalu rumit dan tidak pula terlalu mudah.Walau bagaimanapun terdapat juga kawasan-kawasan lain di negeri Melaka dan Johor ini mempunyai resepi asam pedas yang berlainan. Terpulang kepada citarasa masing-masing untuk menyedapkan lagi masakan mereka.

Kebiasaannya bahan-bahan yang mesti ada ialah terdiri daripada ikan (kebiasaannya ikan parang,ikan tenggiri, ikan merah dan ikan terubuk), cili kering, bawang merah, bawang putih, belacan, halia, lengkuas, kunyit hidup (jika ingin menyedapkan lagi masakan), serai, daun kesum, bunga kantan, asam jawa, asam gelugur atau daun limau purut.

Bahan-bahan ini hendaklah mengikut sukatan masakan.

Cara untuk membuatnya
cili kering, bawang merah dan putih, halia dan belacan dikisar atau ditumbuk lumat.
Serai dan lengkuas diketuk dan bunga kantan dibelah empat.
Tumiskan bahan-bahan yang telah dikisar dan lengkuas tadi kedalam periuk sehingga naik baunya dan garing. Jangan pula hangus.
Selepas itu masukkan air asam jawa mengikut banyak atau sedikit sukatan masakan. Ikan yang telah dibersihkan dimasukkan sehingga mendidih. Akhir sekali masukkan serai, daun kesum, bunga kantan, asam gelugur atau daun limau purut.
Kebiasaan masakan asam pedas bukan sahaja di hidangkan untuk keluarga di rumah malah masakan ini juga terdapat di kedai-kedai makan, restoran, juga di hotel-hotel yang terkemuka di negeri Melaka dan Johor. Ia bukan saja terkenal dan di sukai oleh penduduk negeri Melaka dan Johor sahaja bahkan pelancong dari dalam dan luar negara juga meminati masakan asam pedas ini.



Cencaluk
Cencaluk yang berkhasiat tinggi.

Cencaluk ialah sejenis lauk dalam hidangan tradisional Melaka. Oleh sebab ia dibuat daripada udang halus yang lebih dikenali sebagai udang geragau, cencaluk mengandungi kandungan protein yang tinggi.
Kebiasaannya, udang geragau ini sukar didapati. Di negeri Melaka, udang ini boleh didapati pada musim tertentu di Pantai Klebang, Limbongan, Tanjung Kling dan beberapa kawasan pesisiran pantai yang lain.
Melaka bukan sahaja terkenal dengan kesan peninggalan sejarahnya yang menarik lagi unik, malah tidak ketinggalan juga dari segi makanannya yang amat lazat lagi menyelerakan. Apabila kita menyebut mengenai makanan yang terdapat di Melaka, pasti kita akan teringatkan cencaluk.


Mengikut kepercayaan lama yang telah menjadi kata-kata senda gurau pula, kononnya jika pada hari perkahwinan seseorang itu, hujan turun sepanjang hari, maka dikatakan bahawa mempelai suka makan cencaluk. Namun itu semua hanyalah cerita lama.
Makanan ini yang suatu ketika dulu dipelopori oleh masyarakat Melayu di Melaka kini lebih digemari oleh semua lapisan masyarakat, bukan sahaja di tempat asalnya, malahan sudah melangkaui sempadan Malaysia. Ia juga menjadi satu keperluan atau lauk semasa menikmati hidangan nasi dan ada juga yang menjadikan petai atau jering sebagai ulam semasa memakan cencaluk.

Kini, perusahaan membuat cencaluk semakin mendapat tempat di kalangan penduduk di beberapa kawasan di negeri Melaka. Kerajaan negeri sendiri sudah menetapkan kawasan Dewan Undangan Negeri Kawasan Sungai Udang sebagai kawasan mengeluarkan cencaluk di dalam rancangan 'Satu DUN Satu Produk'.

Selain itu, cencaluk juga kini mudah diperolehi menerusi penjualan yang terbuka seperti di tepi jalan raya serta di pasar-pasar sekitar negeri ini. Bagi mereka yang melalui pesisiran kawasan Tanjung Kling ke Sungai Udang, pasti akan dapat melihat deretan gerai yang menjual cencaluk dan juga belacan.

Proses membuat cencaluk

Proses pembuatan cencaluk memerlukan beberapa kaedah untuk membuatnya dan ia perlu dilakukan dengan teliti bagi memastikan mutu serta kualiti cencaluk itu sedap dirasa apabila dimakan.
Udang geragau yang segar, iaitu tanpa direndam dengan air, akan dicampurkan dengan garam, dan sedikit nasi, iaitu sama seperti bahan- bahan untuk membuat belacan. Setelah ketiga-tiga bahan sudah menjadi sebati, ia seterusnya akan dimasukkan ke dalam sebuah bekas, iaitu pasu, guri atau tempayan kecil. Pasu dan tempayan kecil itu kemudiannya ditutup dengan kain bersih untuk diperam selama tiga hari. Ada juga pembuat cencaluk yang menambahkan sedikit air didih nasi bagi menambah kesedapan cencaluk.
Apabila cencaluk sudah diperam dan sesuai untuk dimakan, ia boleh disedapkan lagi sewaktu dimakan sebagai lauk dengan nasi melalui dua cara:
cencaluk dicampur dengan lada basah dan bawang besar yang dihiris. Kemudian ia akan dicampur dengan perahan limau nipis atau limau kasturi; ataupun
cencaluk dicampurkan dengan sedikit lada basah dan sehiris dua halia, kemudian digoreng dengan telur.

Belacan
Gambar belacan yang siap dibungkus untuk dipasarkan.
Belacan merupakan sejenis bahan masakan yang diperbuat daripada udang kara yang dimampatkan dan tahan lama. Ia mempunyai bau yang kuat tetapi sedap dan berkhasiat dimakan. Terdapat sesetengah orang yang gemar membakarnya sedikit sebelum digunakan kerana ini membangkitkan baunya. Maupun begitu, sekiranya dibakar, belacan mengeluarkan bau yang sungguh kuat. Malah orang putih pernah menggelarkannya sebagai bau daging anjing panggang.
Belacan juga merupakan salah satu bahan bagi menghasilkan sambal belacan, iaitu cili dan belacan yang ditumbuk lumat dengan menggunakan lesung tangan.




Dodol











Dodol adalah sejenis makanan yang boleh dikategorikan dalam kumpulan makanan yang manis (atau manisan/penganan). Dodol sangat terkenal di Melaka. Membuat dodol boleh dikatakan amat rumit. Ramai orang selalu mencuba untuk membuatnya. Tetapi tidak semua yang akan menghasilkan dodol yang bermutu tinggi. Biasanya mereka yang mahir membuat dodol ini terdiri daripada mereka yang telah berusia. Jarang sekali generasi muda mahir membuat dodol. Bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat dodol terdiri daripada santan kelapa, tepung beras, gula pasir, gula melaka dan garam.


Resepi

Bahan-bahan
1.8 kg tepung pulut
300 gm tepung beras
3.6 kg gula melaka 12 biji kelapa parut
15 helai daun pandan

Cara penyediaan
Bancuh tepung beras dan tepung pulut dengan santan. Setelah itu tapis ke dalam kuali besi. Masak gula melaka dengan sedikit air dan daun pandan. Bila telah larut masukkan ke dalam adunan tepung tadi. Dengan menggunakan api yang perlahan jerangkan adunan ini sambil dikacau dan apabila setengah masak, masukkan pati santan dan terus kacau sehingga masak.
Untuk membuatnya, bahan-bahan tersebut hendaklah dicampurkan bersama di dalam kuali yang besar atau dikenali sebagai kawah dan dimasak dengan api yang sederhana besar. Dodol yang dimasak tidak boleh dibiarkan kerana jika dibiarkan, dodol akan hangus atau hangit di bahagian bawahnya/kerak. Oleh itu, dodol hendaklah sentiasa dikacau bergilir-gilir untuk mendapatkan hasil yang baik. Dodol yang dimasak memakan masa yang agak lama iaitu lebih kurang 4 jam kerana sekiranya kurang dari 4 jam, dodol yang dimasak tidak sedap dimakan. Setelah 2 jam dodol tadi dimasak, dodol akan bertukar kepada warna coklat yang pekat sedikit. Dodol tersebut akan mendidih dan mengeluarkan gelembung-gelembung udara yang banyak.
Seterusnya, dodol hendaklah dikacau supaya gelembung dodol tersebut tidak terkeluar dari kawah sehinggalah dodol tersebut masak dan diangkat. Akhir sekali, dodol tersebut hendaklah disejukkan di dalam periuk yang besar. Untuk mendapatkan hasil yang baik dan rasa yang sedap, dodol mestilah berwarna coklat tua, berkilat dan pekat.
Selepas itu, dodol tersebut bolehlah dipotong dan dimakan. Kebiasaannya dodol akan dihidang kepada tetamu pada hari-hari tertentu seperti hari-hari perayaan dan majlis kenduri.

Diperolehi daripada "http://ms.wikipedia.org/wiki/Dodol"
Tapai



Tapai ialah sejenis penganan yang dibuat daripada pulut. Terdapat 2 jenis tapai iaitu tapai ubi dan tapai pulut. Biasanya tapai pulut lebih popular jika dibandingkan dengan tapai ubi. Tapai pulut rasanya lebih sedap kerana itulah tapai ubi tidak dapat menandingi tapai pulut.
Bahan-bahan untuk membuat tapai tidaklah terlalu rumit. Tapai pulut memerlukan bahan seperti
pulut, ragi dan sedikit gula. Ketiga-tiga bahan ini hendaklah dicampurkan sehingga sebati.
Kemudiannya akan dibungkus sedikit-sedikit dengan menggunakan daun yang disebut sebagai daun tapai. Tetapi pada zaman ini, daun tapai semakin sukar didapati dan kebanyakan tapai dibungkus dengan menggunakan daun pisang. Terdapat sedikit perbezaan rasa antara tapai yang dibungkus dengan daun tapai dan tapai yang dibungkus dengan daun pisang.

Tapai yang telah siap dibungkus dimasukkan ke dalam pasu tempayan yang besar dan ditutup dengan kain. Setelah diperam dan disimpan selama 3 hari, tapai itu akan masak dan barulah boleh dimakan. Tapai yang telah masak mengeluarkan air yang sangat manis. Air tapai ini boleh diminum dan juga boleh dijadikan sebagai ubat tradisional.

Orang tua zaman dahulu juga mempunyai pantang larang apabila hendak membuat tapai. Apabila tapai sedang dibungkus, seseorang itu tidak boleh memakan sirih atau mendekatkan dengan benda-benda yang berwarna merah. Jika pantang larang ini dilanggar, tapai tersebut akan berwarna merah dan rasanya tidak sedap. Seseorang itu juga tidak boleh memakan benda yang masam ketika membungkus tapai kerana ia akan menyebabkan tapai menjadi masam.
Tapai yang telah masak juga tidak boleh disimpan lama, masanya adalah lebih kurang dalam 2 hari sahaja dan kerana rasanya yang terlalu manis biasanya sesuai dimakan pada waktu tengah hari sebagai pencuci mulut, dan sekiranya mahu menambahkan lagi kesedapan tapai, tapai itu boleh dicampurkan dengan santan kelapa dan dimasukkan sedikit ais



Diperolehi daripada "
http://ms.wikipedia.org/wiki/Tapai"



Melaka terkenal dengan masakan yang pastinya akan membuka selera seperti makanan Melayu, Hidangan Cina, India, Baba dan Nyonya serta Portugis yang menjadi kebanggaan negeri ini. Begitulah istimewanya Melaka. Pelancong tidak perlu risau mencari makanan yang dapat memenuhi citarasa kerana terdapat pelbagai jenis restoran yang berwarna-warni, gerai-gerai di sepanjang jalan dan juga kedai kopi. Kebanyakan restoran yang terbuka akan menjadi pilihan pelancong untuk menjamu selera.

Makanan Nyonya

Sekiranya anda tiba di Melaka, masakan Nyonya akan membuatkan anda berselera sekali. Ia merupakan gabungan makanan Cina tetapi menggunakan rempah ratus masyarakat India dan herba-herba yang sering digunakan oleh masyarakat Melayu. Rasailah sendiri, barulah anda tahu kehebatannya. Antara hidangan yang boleh dicuba ialah otak-otak (isi ikan), sup itik, laksa lemak (mi dan udang bersama kuah laksa bersantan), jantung pisang, mi siam dan nasi kunyit.. Sebagai pembuka selera, anda boleh mencuba sagu Melaka (sagu biji bersama air gula) dan kuih koci (tepung pulut berinti kelapa parut).

Makanan Portugis

Masyarakat Portugis menggunakan gabungan rempah ratus dalam makanan mereka. Sebagai penambah perisa, jus lemon, asam jawa dan buah masam digunakan untuk memberi rasa yang sungguh nikmat dalam makanan. Di antara hidangan yang popular ialah Devil's Curry (kari yang kaya dengan 12 perasa bersama isi ayam atau daging), Garing-garing (snek lazat yang diperbuat daripada ikan dan disaji bersama sayuran yang dimakan mentah) dan Ikan Bakar Portugis (ikan yang dibakar dan dibalut dengan daun pisang).

Makanan Cina

Bagi masyarakat Cina, perbezaan cara masakan mengikut kumpulan seperti kantonis, hakka, hainan, hainan, szechuan dan hokkien membolehkan kita memilih makanan yang digemari. Masakan Cina juga pedas sedikit kerana ianya menggabungkan citarasa pelbagai etnik Cina. Di antara hidangan yang digemari ialah Char Kway Teow (mi yang diperbuat dari hasil beras, telur dan sayur taugeh), Mi Wantan, Mi Udang dan Dim Sum.

Makanan India



Makanan India terkenal kerana ianya kaya dengan rempah ratus seperti cili, cengkih, kayu manis, jintan putih dan sebagainya. Pelbagai jenis roti yang diperbuat daripada tepung gandum seperti thosai, chapati, naan, roti cana dan idli. Hidangan daun pisang pasti akan menarik selera ramai orang kerana makanannya dihidangkan di atas daun pisang menggantikan pinggan biasa. Ia memberikan satu pengalaman baru kepada mereka yang ingin mencubanya untuk pertama kali. Masyarakat India-Muslim terkenal dengan Nasi Briyani dan Mee Goreng. Hidangan lain termasuk kurma, ayam tandoori dan kari kepala ikan.

Makanan Melayu

Makanan Melayu memang terkenal dengan pedas, yang menggunakan pelbagai kandungan dari bahan-bahan semulajadi seperti cili, serai, halia, santan kelapa dan sebagainya. Masakan tradisional Melayu di Melaka adalah sambal yang diperbuat daripada cili, perisa udang dan perasa lain. Masakan yang paling popular bagi orang Melayu adalah nasi lemak iaitu sajian untuk sarapan pagi. Nasi Lemak dimasak dengan menggunakan ayam atau daging, kacang tanah, telur rebus dan sambal. Masakan lain yang popular adalah seperti asam pedas (ikan dan sayuran dimasak didalam kuah asam pedas), rendang, nasi padang dan nasi goreng.